Apakah itu pendarahan?
Pendarahan ialah keadaan di mana darah keluar dari saluran darah yang pecah. Pendarahan juga dikenali sebagai berdarah atau kehilangan darah.
Apakah terdapat banyak jenis pendarahan?
Terdapat tiga jenis pendarahan:
Pendarahan luaran - dikaitkan dengan kecederaan disebabkan luka, kulit terkoyak dan pecah.
Pendarahan luaran yang keluar melalui bukaan semula jadi - di mana pendarahan berlaku dalam tubuh dan darahnya keluar melalui bukaan semula jadi manusia (seperti faraj atau hidung).
Pendarahan dalaman - yang berlaku dari saluran darah organ yang pecah di dalam tubuh manusia. Ini dianggap sebagai sangat serius dan memerlukan bantuan perubatan dengan segera. Pendarahan ini kerana ia melibatkan kehilangan darah dari peredaran darah dan mungkin menyebabkan terjadinya renjatan. Tambahan pula, darah yang terkumpul dalam tubuh akan memberikan tekanan yang boleh memusnahkan organ-organ tertentu seperti paru-paru atau otak.
Bagaimana pendarahan ini berlaku?
Pendarahan diklasifikasikan mengikut jenis saluran darah yang cedera. Terdapat tiga jenis saluran darah iaitu: arteri, vena dan kapilari.
Arteri membawa darah yang kaya dengan oksigen serta bertekanan tinggi dari jantung ke seluruh tubuh. Darah tersebut berwarna merah terang dan memancut keluar dari luka serentak dengan denyutan jantung.
Vena membawa darah bertekanan rendah yang memiliki kandungan oksigen yang rendah dari seluruh badan kembali ke jantung. Ia berwarna merah gelap.
Kapilari merupakan saluran darah kecil yang menyambungkan arteri dan vena. Pendarahan ini dicirikan dengan darah yang mengalir secara perlahan dari luka.
Apabila saluran-saluran darah ini mengalami kerosakan atau pecah, darah akan mengalir keluar dan pendarahan akan berlaku. Dalam keadaan biasa, tubuh memiliki mekanisma pembekuan darah semula jadi bagi mencegah darah dari terus mengalir.